Adakah anda biasa lihat atau mengalami sendiri bayi anda muntah / jeluak selepas menyusu.Bayi muntah atas pelbagai sebab. Ia bukan sesuatu yang boleh dianggap normal sehingga dipastikan oleh pakar perubatan.
Antara sebab2 biasa bayi muntah selepas menyusu antaranya menjeluak (regurgitation) apabila susu ibu memancut dengan laju semasa refleks melepas, susu mengalir terlalu banyak, bayi minum terlalu kenyang atau otot injap bawah saluran makanan esofagus (lower esophageal sphincter) belum matang.
APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN UNTUK KURANGKAN RISIKO BAYI MUNTAH
1) Meninggikan kedudukan kepala bayi di atas paras perut selepas menyusu mungkin boleh membantusesetengah bayi walaupun kajian terkini menunjukkan ini tidak banyak membantu mengurangkan muntah. Posisi lain yang boleh membantu ialah bayi mengiring atau meniarap semasa bayi masih terjaga. Namun posisi meniarap tidak digalakkan jika bayi tertidur kerana boleh meningkatkan risiko kematian bayi secara mengejut (SIDS)
2) Cuba susukan bayi dalam keadaan dia seperti menegak/berdiri (upright nursing position). Namun pastikan perut bayi bertemu perut kita. Ia dipercayai boleh membantu mengurangkan risiko bayi tersedak.
3) Jika pancutan susu terlalu laju, kita boleh mengurangkannnya dengan menekan payu dara secara pegangan gunting semasa menyusu bagi mengurangkan pancutan seterusnya mengelakkan bayi tersedak.
4) Elakkan daripada menekan perut bayi. Dalam masa yang sama, pakaikan baju bayi yang longgar. Jika dia memakai barut perut, longgarkan atau tanggalkannya.
5) Sasarkan penyusuan yang kerap apabila bayi menunjukkan tanda lapar. Elakkan menukar bayi ke payudara sebelah lagi terlalu cepat atau kerap terutamanya sewaktu bayi masih aktif menghisap. Ketahuilah, perbuatan ini akan menyebabkan bayi mudah termuntah.
6) Bagi bayi yang cerewet, meragam atau menolak untuk disusukan, banyakkan sentuhan kulit ke kulit dan elakkan daripada memaksa. Penggunaan baby sling boleh membantu bayi mengurangkan risiko muntah. Pelekapan pada puting mesti betul bagi mengelakkan bayi banyak menelan angin yang boleh menyebabkan kembung. Kita juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi ketika bayi sedang mengantuk. Kadang kala bayi lebih tenang apabila berada di payudara. Oleh itu, galakkan hisapan bukan nutrisi (non nutritive suckling). Lazimnya bayi sudah kenyang, tetapi amalan ini membantu mengurangkan kerengsaan perut, mempercepatkan pengosongan perut bayi dan melancarkan penghadamannya.
7) Jika bayi muntah oleh kerana mengalami kembung perut, bantu dia sendawa dan belajar cara-cara untuk merawat kembung daripada pakar. Cuba kenalpasti makanan yang diambil oleh ibu hingga memungkinkan masalah kolik atau kembung seperti susu lembu dan kafein.
Perah susu awal terlebih dahulu (susu yang mengandungi nisbah laktosa kepada lemak yang lebih tinggi) dan susukan bayi dengan susu akhir (lebih berlemak, nisbah laktosa kepada lemak adalah kecil). Habiskan penyusuan sehingga bayi benar-benar kenyang di sebelah payudara. Untuk maklumat tambahan, jika laktosa tinggi berbanding lemak, proses penapaian laktosa akan menghasilkan banyak gas dalam usus bayi yang akan menyebabkan kembung. Jadi, kandungan lemak yang lebih daripada laktosa akan mengurangkan risiko kembung.
9) Amalan mengurut bayi dengan cara yang betul boleh mengurangkan risiko refluks dan kembung. Urutan bayi bukan sahaja dapat menenangkan bayi malah melancarkan sistem penghadaman dan menguatkan ototnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan